Andai kata kita mencintai seseorang, pasti kita sanggup melakukan apa saja untuk dia supaya dia sentiasa bahagia, selesa dan senang di samping kita. Memang itu lumrah cinta. Sanggup berkorban apa saja untuk yang dicintai. Sebelum itu, cuba kita tengok adakah betul cinta kita tersebut? Adakah kita sudah meletakkan cinta kita yang paling utama di tempat yang benar? Adakah kita sudah menyerahkan cinta kita kepada Sang Khalik yang Maha Mengasihani hamba-Nya walaupun hamba-Nya selalu melupakan-Nya. Jikalau cinta itu sudah bertemu dengan Cinta Segala Cinta alangkah indahnya. Alangkah nikmatnya terasa hidup ini sehingga kita berasa tidak sabar untuk berhadapan dengan Sang Pencipta. Sehinggakan segala nikmat dunia tidak dihiraukan. Harta, darjat, dan pangkat tidak menggugat cinta yang suci kepada Sang Khalik.
Ada yang mendakwa bahawa dia sudah memberikan cintanya kepada Allah Taala. Memang senang untuk melafazkan cinta. Tetapi, sangat sukar bila hendak dibuktikan. Samakah apa yang dilafaz oleh bibir dengan detakan hati? Serentakkah alunan kedua-duanya? Benarkah seluruh hati, jiwa dan raganya sudah menjadi kepunyaan Allah sepenuhnya? Tanpa ada sedikit ruang untuk makhluk selain-Nya? Cuba kita tanya pada diri kita betulkah aku memang mencintai Allah sepenuh jiwa. Perhatikanlah tanda-tanda mencintai Allah mengikut syariat. Jika semua lulus insyallah betullah kita memang mencintai-Nya.
Yang pertama, jika kita benar-benar mencintai Allah adakah kita banyak berzikir kepada-Nya? Adakah setiap denyut nadi kita hanya bertasbih kepada Allah? Adakah setiap pergerakan kita dimulai dengan nama Allah (3:191)? Adakah air mata kita akan bercucuran tatkala mendengar ayat-ayat cinta daripada Allah? Adakah hati kita akan gementar tatkala mendengar ayat-ayat-Nya (8:2)? Padahal Allah sudah berfirman yang hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenteram (13:28). Tidak hairanlah mengapa kebanyakan orang yang berharta tidak menemui kebahagiaan kerana mereka terlalu percaya kepada teori wang penjamin kebahagiaan. Cuba kita tanya kepada orang yang mempunyai pangkat tinggi, kereta mewah, banglo bertingkat-tingkat, adakah mereka benar-benar bahagia? Memang tidak salah untuk mencari harta bahkan itu yang dituntut oleh agama Islam kita supaya harta itu disalurkan untuk fisabilillah. Tetapi, janganlah kerana terlalu sibuk mengejar harta menyebabkan kita lupa kepada Zat yang Maha Berkuasa. Kalau kita tengok sirah para sahabat, ramai sahabat Rasulullah SAW yang kaya-raya seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman, Abdul Rahman Bin Auf dan lain-lain. Mereka tidak pernah tergoda dek harta yang banyak itu malahan sanggup menginfakkan semua harta mereka untuk jalan Allah. Ingatlah, pencinta Allah ialah insan yang hatinya tak pernah berhenti berzikir kepada Allah, lisannya tidak pernah berhenti menuturkan nama-nama Allah yang Maha Sempurna (7:180).
Si pencinta Allah sangat takjub kepada kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah Taala. Cuba kita perhatikan alam di sekeliling kita (67:3-4). Langit, bumi, sungai, lautan, haiwan dan seluruh alam semesta ini. Kejadian malam dan siang yang teratur (25:47). Adakah semua itu terjadi dengan sendiri, tanpa pencipta? Kalau orang yang mempunyai akal yang sihat, dia tidak akan sekali-sekali berkata seperti itu. Bahkan kita nak minum secawan kopi pun kena buat sendiri dulu, baru boleh minum. Takkan alam semesta yang tidak ada had ini terbentuk dengan sendiri (57:4). Sehingga kita mampu berasa gerun bila terdampar di gurun yang gersang dan berasa harmoni apabila melihat indahnya kuntuman bunga yang mengharum. Itulah hebatnya ciptaan Sang Pencipta sehingga mampu menghidupkan perasaan yang berlainan dengan setiap ciptaan-Nya. Hati yang mencintai Allah akan turut berasa gerun dengan kekuasaan Allah sehingga kita takut untuk bermaksiat di hadapan Allah yang tak pernah lengah terhadap sesuatu.
Ujian dan musibah memang menjadi asam garam dalam kehidupan untuk menguji manusia siapa yang lebih baik amalannya (67:2). Manusia selalu memandang ujian itu di sisi yang buruk. Kematian, kehilangan harta benda, kemalangan, bencana alam selalu dikaitkan dengan ujian kerana itu adalah malang di mata manusia. Padahal, setiap musibah yang berlaku adalah disebabkan oleh tangan manusia sendiri (42:30). Ujian itu bukan di sisi yang buruk saja. Harta, kecantikkan, kebijaksanaan juga merupakan ujian kepada kita untuk menguji sejauh mana kita menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaan Allah Taala. Sebenarnya ujian itu merupakan anugerah yang Allah kurniakan kepada kita supaya kita kembali ingat kepada-Nya. Ujian itu juga sebenarnya meningkatkan darjat kita di sisi Allah Taala. Tetapi, itu pun dengan syarat kita redha dengan setiap ujian yang diturunkan oleh Allah kepada kita (2:156). Dengan syarat kita tidak menyalahkan takdir untuk setiap perkara yang berlaku. Kita ambil peluang atas setiap yang berlaku dengan memikirkan hikmah di sebaliknya. Kan setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Setiap kejadian Allah tidak pernah sia-sia. Ujian itu akan memudaratkan kita jika kita tidak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Dua kerugian di sini. Yang pertama, kita rugi kerana tidak berlapang dada untuk menerima ujian itu dan seterusnya kita rugi sebab kita tak menggunakan hati dan akal kita untuk memikirkan serta mengambil hikmah di sebaliknya. Jadi, hikmah tersebut lari meninggalkan kita. Jangan pula kita mengambil kesempatan dengan hanya menerima ujian itu semata-mata tanpa mencari inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ingat konsep berusaha, berdoa dan bertawakal. Insyallah, hidup akan menjadi lebih bererti.
Cinta memerlukan pengorbanan. Itu memang orang sudah tahu. Oleh itu, jika kita sudah melafazkan kata-kata cinta kepada Allah, kita perlu berkorban untuk-Nya. Berkorban melawan hawa nafsu dan godaan syaitan yang selalu ingin menarik kita jauh daripada limpahan cahaya Allah. Berkorban untuk menginggalkan karat-karat jahiliyah yang masih berbaki di hati. Berkorban jiwa, harta, masa dan tenaga dalam menyebarkan dakwah untuk diri kita yang utamanya dan seterusnya kepada orang di sekeliling kita (66:6). Jangan rasa rugi untuk berinfak di jalan Allah (9:98). Takkan kita nak masuk syurga seorang diri dengan membiarkan ibu, bapa, kakak, abang, adik, kawan-kawan, jiran-jiran dan saudara kita yang lain terkontang-kanting dengan hidup mereka yang masih kabur dalam mencari cahaya. Ingatlah, sesungguhnya perkataan yang lebih baik adalah yang menyeru kepada Allah Taala (41:33).
Cinta kepada Allah mendorong kita untuk takut dan berharap hanya kepada-Nya (21:90). Rasa takut kepada-Nya mendorong kita untuk mengikuti setiap perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya tanpa mempertikaikan mengapa kita perlu buat begitu dan tak boleh buat begini (59:18). Allah kan Maha Mengetahui. Mestilah Dia tahu yang mana terbaik untuk kita (2:216). Kita hanya seorang hamba. Memang sunatullah kita perlu mengabdikan diri kepada Pemilik kita. Rasa berharap juga mendorong kita supaya hanya menyandarkan harapan kita kepada Al-Somad. Hanya Allah yang kita yakin segala doa kita akan diperkenankan. Tengok tu, walaupun diri kita serba kekurangan Allah tetap baik dengan kita dengan memperkenankan doa kita (2:186). Bahkan ada yang kita dapat dulu sebelum minta kepada-Nya. Ada juga kita dapat lebih daripada apa yang diminta. Memang nikmat Allah langsung tidak boleh dihitung (14:34). Terlalu banyak Dia bagi kepada kita. Jadi, nikmat Allah yang mana yang kita dustakan (55:13)? Kalau kita bersyukur akan nikmat Allah dan menggunakan untuk mencari keredhaan-Nya, Allah akan tambahkan lagi (14:7). Padahal siapalah kita di depan-Nya. Adakah ini belum cukup untuk kita mengabdikan diri kita sepenuhnya kepada Sang Khalik? Dan kita juga jangan lupa apa akibatnya jika kita tidak menggunakan nikmat Allah di jalan yang betul (7:179).
Tanda cinta kita kepada Allah dapat dibuktikan dengan kita taat kepada-Nya (4:80). Macam mana kita nak taat kepada Allah? Kan Allah sudah menghantar contoh tauladan yang terbaik untuk kita (33:21). Kita ikutlah apa yang Nabi Muhammad SAW buat dan ajarkan kepada kita. Kalau kita taat kepada Rasulullah SAW bermakna kita juga taat kepada Allah. Dan apabila kita taat kepada Allah dan Rasul, itu membuktikan bahawa kita memang mencintai Allah dan Rasul kita (3:31). Ingatlah, sesungguhnya kami dengar dan kami taat (2:285). Kadang-kadang kita juga melakukan kesalahan kerana kita hanyalah seorang insan biasa yang tidak terlepas dengan kelemahan diri. Oleh itu, kita perlulah bersegera bertaubat tatkala melakukan maksiat kerana ajal datang tidak menyapa. Mana tahu dalam kita bertangguh untuk bertaubat, tiba-tiba kita didatangi Malaikat Izrail. Alangkah ruginya kita jika nyawa sudah di kerongkong tapi tak sempat untuk menuturkan kata-kata taubat kepada Allah (32:21).
Oleh itu, marilah kita sama-sama membersihkan hati kita supaya hanya Allah Maha Esa sahaja yang bertakhta di hati kita. Serahkanlah cinta suci hanya kepada-Nya. Ingatlah Rasulullah Saw bersabda, “Kalau Allah sudah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril dan berkata, ‘Aku mencintai Fulan. Cintailah dia’. Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru di tengah penduduk langit, ‘ diumumkan bahawa Allah mencintai Fulan. Kerana itu, cintailah dia.’ Maka seluruh penduduk langit mencintainya. Lalu disampaikan kepada penduduk bumi dan seluruh penduduk bumi mencintainya.” (Shahih Bukhari-Muslim)