17 Ramadhan. Satu tarikh yang cukup bersejarah dalam sejarah umat Islam. Itulah kali pertama kalamullah diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ yang mana Malaikat Jibrail AS menjadi perantaraan. Selepas peristiwa itu, Rasulullah SAW terus menerima wahyu daripada Allah untuk disebarkan kepada umat manusia sehinggalah generasi sekarang. Betapa besarnya ujian yang Baginda terima sepanjang dakwah Baginda semata-mata untuk membawa Islam menjadi cara hidup seluruh umat manusia, bukannya Islam yang hanya ada pada nama.
Namun, sekarang cuba tengok berapa peratus umat Islam yang betul-betul berpegang dan beramal dengan al-Quran. Betapa hebat musuh-musuh Islam merencanakan rancangan yang mampu membuat umat Islam sekarang semakin hari semakin jauh dengan al-Quran. Tengok. Betapa berjayanya Perang Saraf yang dilancarkan oleh mereka. Pernah tak terfikir kenapa mereka melancarkan Perang Saraf? Hal ini kerana mereka sudah tahu jika mereka berperang secara fizikal mereka akan kalah kerana semangat jihad umat Islam sangat tinggi dan impian untuk syahid di jalan Allah. Apatah lagi tentera mereka berperang hanya untuk dunia. Mungkin untuk wang, kuasa atau pangkat. Tak hairanlah jika secara purata seramai 13 orang askar setiap bulan membunuh diri di salah sebuah military di Amerika. Gugur atau hidup semuanya merupakan kemenangan kepada umat Islam (9:111). Jika gugur insyallah dikira syahid. Jika menang alhamdulillah kerana mampu melawan mereka yang berani menentang Allah dan Rasul.
Ada antara musuh Islam yang bercadang untuk memusnahkan al-Quran supaya umat Islam tidak lagi beramal dengannya. Tetapi rancangan itu dibantah oleh sekutunya kerana itu akan membangkitkan kemarahan umat Islam jika al-Quran dimusnahkan. Jadi, apa yang mereka lakukan? Secara diam-diam mereka menanam jarum-jarum supaya umat Islam sendiri yang menjauhkan diri daripada al-Quran.
Bagaimana? Jawapannya adalah melalui hedonism iaitu hiburan yang melampau. Filem, lagu, drama, konsert, games dan lain-lain sangat digemari oleh masyarakat sekarang terutama dalam kalangan remaja yang sepatutnya menjadi harapan untuk menyebarkan dan membangunkan agama. Tengoklah betapa rosaknya remaja kita sekarang. Sejak dari kecil lagi musuh-musuh Islam sudah berjaya merosakkan masyarakat kita. Seperti kita sedia maklum, kanak-kanak mesti gemarkan kartun. Pelbagai agenda mereka selitkan dalam kartun untuk mempengaruhi fikiran anak-anak. Contohnya, banyak kartun yang memaparkan aksi-aksi ganas seperti Dragon Ball dan Naruto. Kesannya, kanak-kanak sekarang suka memberontak dan melawan cakap ibu bapa. Kanak-kanak juga sudah disajikan dengan elemen cinta sejak awal lagi. Kanak-kanak perempuan khususnya, suka benar menonton cerita seperti Sailormoon, Barbie, Snow White, Little Mermaid, Cinderalla dan Beauty and The Beast yang memaparkan tema percintaan. Jadi, mereka sudah mendapat didikan awal betapa indahnya bercinta dan memadu kasih. Kononnya. Tidak hairanlah sekarang couple menjadi trend remaja. Bahkan, orang yang tidak mempunyai couple pula yang dipandang serong. Betullah kan Islam datang dalam keadaan asing pada zaman Rasulullah SAW. Sejarah akan berulang. Sebab itu Islam juga dipandang asing sekarang.
Lagu-lagu pula usah dikatalah. Sungguh teruk lagu-lagu sekarang. Elemen lucah, bahasa kasar dan penghinaan agama sudah menjadi makanan. Lagu Agnes Monica yang entah apa tajuknya dihalang diudarakan di Malaysia kerana ada penghinaan terhadap Islam kerana menyamakan Allah dan Jesus. Remaja sekarang hanya tahu menyanyi saja tanpa mengkaji apa-apa tentang lagu-lagu tersebut. Padahal ada sesetengah lagu yang mempunyai maksud tersembunyi seperti memuja syaitan yang boleh mengganggu akidah dalam kita tidak sedar. Kasihan sungguh kepada mereka yang langsung tidak ambil peduli tentang hal ini. Ada yang menyedihkan lagi sesetengah orang saja buat-buat tidak tahu walaupun sudah diberitahu tentang perkara tersebut. Disebabkan sikap yang selalu ambil mudah mengakibatkan mereka hanyut dibuai lagu-lagu yang langsung tak membawa kebaikan. Lagu cinta. Lagilah melambak diudarakan. Ini semua hanya untuk meningkatkan perasaan remaja untuk bercinta. Cerita Korea dan Hindi pun sama. Memaparkan tema percintaan supaya semua dibuai angan-angan palsu. Games pula menyebabkan remaja menjadi ketagih sehingga melupakan tanggungjawab sebagai pelajar, anak dan hamba Allah. Ada yang sanggup tidak makan semata-mata untuk bermain games. Waktu solat pula sengaja dilewat-lewatkan dan parahnya kalau langsung tidak mendirikan solat.
Sungguh teliti rancangan musuh-musuh Islam dalam menghancurkan umat Islam. Percayalah, mereka tidak akan berhenti selagi kita tidak mengikut cara hidup mereka (2:120). Jadi, untuk mengembalikan sejarah tamadun Islam yang menguasai 2/3 dunia pada masa dahulu, marilah kita kembali kepada Allah dan berpegang kepada Al-Quran. Rasulullah SAW pernah bersabda, “ Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku.” Nah, apa lagi yang kita tunggu. Jangan biarkan maruah agama Islam kita hancur begitu saja. Jom kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan